Sunday 31 July 2011

Salam Ramadhan al-Mubarak

اهلا وسهلا ومرحبا يا رمضان 

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang pernah diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa." 
-Surah al-Baqarah:183

Salam Ramadhan buat semua umat Islam diseluruh pelusuk dunia, terutamanya buat sahabat dan sahabiah yang ku sayangi. Ramadhan, Engkau TETAMU yang dirindui oleh seluruh pelusuk umat Islam. Bulan yang terselit seribu kerahmatan dan keampunan. Yang terkenal dengan bulan ibadahnya. Bulan yang penuh dengan sirah dan peristiwanya.

Firman Allah; "Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." 
-Surah al-Baqarah: 185

KELEBIHAN RAMADHAN :
  •  Al-Quran diturunkan. Firman Allah; "Bulan ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran." (al-Baqarah: 185)
  • Pintu rahmat dibuka dan pintu neraka ditutup. Sabda Rasulullah saw;"Apabila tiba bulan ramadhan, segala pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan diikat segala syaitan." (HR Bukhari dan Muslim)
  • Umrah ramadhan menyamai haji bersama nabi. Sabda Rasulullah saw; "umrah pada bulan ramadhan kelebihannya menyamai mengerjakan haji bersamaku." (HR Bukhari dan lain-lain)
  • Menghapuskan dosa. Sabda Rasulullah saw; "Sembahyang lima waktu, sembahyang dari jumaat ke jumaat dan bulan ramadhan ke ramadhan menghapuskan dosa antara dua tempoh itu apabila meninggalkan dosa besar." (HR Muslim)
  • Dibebaskan seksa neraka. Sabda Rasulullah saw; "Pada bulan ramadhan, umatku diberi 5 perkara yang tidak pernah diberi kepada nabi sebelumku. Pertama, apabila tiba malam pertama bulan ramadha, Allah Maha Megah dan Maha Agung memerhati mereka. Sesiapa yang Allah perhatikan, Dia tidak menyeksa hamba itu selama-lamanya........." (HR Baihaqi)
  • Semua syaitan dibelenggu. Sabda Rasulullah saw; "apabila tiba malam pertama bulan ramadhan, semua syaitan dan jin yang jahat akan dibelenggu dan pintu-pintu neraka ditutup. Semua pintu neraka ditutup dan tidak ada satupun yang dibuka. Manakala semua pintu syurga dibuka dan tidak ada satupun yang ditutup..........." (HR Tirmizi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah)
  • Malam Lailatul Qadar. Firman Allah; "sesungguhnya kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, malaikat dan jibril turun dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar." (Surah al-Qadar: 1-5)
Sesungguhnya bulan ramadhan dipenuhi dengan seribu kerahmatan, barakah dan jua keampunan. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah lebih dari itu iaitu menahan kekangan nafsu serta semua anggota badan dari sifat-sifat keji dan mungkar. 

Jadi, marilah bersama kita menghayati dan merebut segala peluang yang ada bagi meraih pahala dariNya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menjalani ibadah wajib ini dengan penuh kegembiraan, penuh keinsafan, penuh tawadduk dan dengan penuh penghayatan dan mudah-mudahan ramadhan kali memberikan sejuta pengertian dalam hidup kita dalam meraih segala ganjaran PAHALA dan BONUS yang telah disediakan olehNya. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment